Kisah Kejayaan
Kisah Kejayaan Usahawan Online (Puan Fazilah)
Kisah kejayaan kali ini memperkenalkan individu yang berpengalaman lebih 7 tahun dalam bidang penyediaan makanan dan pernah menerima tempahan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di sekitar Putrajaya, Puan Fazilah Man begitu komited dalam menjalankan perniagaan yang beliau minati. Pernah menjadi tokoh usahawan Success Story PI Presint 18 kira-kira 2 tahun yang lalu, kini beliau membuktikan yang beliau sememangnya mampu meningkatkan prestasi perniagaan beliau sendiri. Lebih selesa bekerja bersama keluarga dalam menyiapkan tempahan makanan, beliau kini merupakan salah seorang katerer yang agak aktif dan sering menerima tempahan di sekitar pejabat-pejabat agensi kerajaan khususnya Putrajaya.
Beliau pernah menyertai beberapa kelas dan program anjuran Pusat Internet Presint 18. Tujuannya adalah untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengetahuan tentang dunia pemasaran internet disamping beliau tidak mahu ketinggalan dengan yang lain berkaitan teknologi dan ICT. Antara ilmu dan kemahiran yang pernah beliau pelajari adalah:
- Pemasaran Melalui Facebook/Whatsapp/Instagram
- Kepentingan Membina Blog untuk produk dan pemasaran
- Teknik Copywriting untuk pengiklanan melalui facebook
- Softskills dan social relation
- Teknik Promosi Produk
- Video & Photo editing untuk flyers & pengiklanan
Puan Fazilah boleh dikatakan antara salah seorang usahawan contoh bagi komuniti disini. Dengan semangat dan kecekalan yang beliau tunjukkan mampu memberi inspirasi kepada orang lain. Beliau ternyata mempunyai semangat juang yang tinggi, giat memupuk minat dan keyakinan diri bagi bersaing dengan usahawan-usahawan yang lain. Tidak hairan lah perniagaan beliau mendapat sambutan daripada agensi-agensi kerajaan sekitar Putrajaya. Petugas PI Presint 18 begitu komited dalam membantu dan menyokong atas minat dan daya usaha yang beliau tunjukkan. PI juga bertanggungjawab dalam memberi galakan serta tunjuk ajar ilmu-ilmu berkaitan ICT serta keusahawanan kepada golongan usahawan seperti beliau.
Adik Faris
Adik Faris merupakan pelajar tingkatan 1 dan berdaftar sebagai pelajar eKelas di PI Presint 18 iaitu Program Komuniti dari Maxis untuk pelajar tingkatan 1 hingga 3. Adik Faris sering berkunjung ke PI untuk mengulangkaji pelajaran, melayari internet serta berjumpa dengan rakan-rakan untuk mengisi masa lapang beliau selepas sesi persekolahan.
Adik Faris kerap menghadiri kelas ICT yang dianjurkan oleh PI. Selain itu, beliau sering berkunjung ke PI untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan seperti mencari bahan untuk menyiapkan kerja sekolah, mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan dan sebagainya. Beliau juga mempunyai minat dan kesungguhan untuk hadir setiap sesi ekelas. Menunjukkan peningkatan dalam subjek pembelajaran ekelas dan juga di portal ekelas.
Puan Nurhasni binti Othman
Puan Nurhasni binti Othman merupakan surirumah sepenuh masa. Beliau mula menjinakkan diri di dalam perniagaan online pada tahun 2018 dengan menjadi agen bagi produk Super Beauty. Beliau mempunyai minat berniaga yang sangat mendalam dan telah mula menceburkan diri di dalam bidang perniagaan, namun atas kekurangan ilmu dan kemahiran.
Sebelum menggunakan ICT sebagai medium pengiklanan, beliau menggunakan kaedah pemasaran menggunakan flyer, dan mulut ke mulut. Kaedah pengiklanan sebegini agak sukar, disamping memerlukan kos yang agak tinggi. Selain daripada itu, sukar untuk mendapatkan pelanggan yang betul-betul berpotensi untuk produk-produk yang dipasarkan. Beliau juga kurang didedahkan dengan penggunaan media sosial sebagai medium untuk pengiklanan dan pemasaran kerana beliau takut untuk mencuba sesuatu yang baru.
Beliau sering hadir untuk mendapatkan latihan secara informal mengenai cara pemasaran melalui media sosial terutamnya menggunakan Facebook. Setelah mendapat ilmu dan pendedahan daripada staff Pusat Internet Presint 18, beliau mula menjinakkan diri di dalam bidang perniagaan secara atas talian. Beliau kini mula memasarkan kesemua produk melalui facebook serta whatsapp. Dengan pengiklanan melalui media sosial, beliau percaya ianya lebih mudah sekiranya mempunyai ilmu, selain dengan kaedah ini ia memerlukan kos yang rendah, serta pengurusan masa yang lebih fleksibel.
Kisah Kejayaan Muslimatul
Muslimatul merupakan pelajar Latihan Industri selama 3 bulan di Pusat Internet Presint 18 bermula Januari yang lalu. Beliau merupakan pelajar jurusan Teknologi Rangkaian daripada Institut Latihan Perindustrian JTM di Sandakan Sabah.
Beliau mempunyai kesungguhan dan minat untuk belajar berkaitan latihan ICT dan Keusahawanan yang dijalankan serta sistem operasi Pusat Internet. Pusat Internet banyak memberi tunjuk ajar dan membantu beliau dalam menjalankan latihan industri di sini. Staf Pusat Internet telah memberi tugasan dan kerja untuk meningkatkan kemahiran beliau di alam pekerjaan kelak.
Kisah Kejayaan Roti Canai Warigh
Puan Lyn merupakan seorang usahawan roti canai yang berasal dari Negeri Sembilan. Beliau menjalankan perniagaan Roti Canai Warigh. Sebelum ini, beliau berniaga di food court Presint 9, Putrajaya dan kini berniaga di Café Masjid Mahmoodiah Presint 18, Putrajaya.
Beliau mempunyai asas dalam menjalankan perniagaan atas talian tetapi beliau tidak yakin dalam mengiklankan perniagaan sehingga beliau melihat pelanggan yang mengviralkan perniagaan beliau.
Beliau mempunyai pengetahuan asas dalam menguruskan perniagaan atas talian. Kini beliau lebih yakin dan mampu menyesuaikan diri dalam perniagaan yang berasaskan internet dengan mengiklankan Roti Canai Warigh beliau.
Usahawan Gooodio Popsicle Ais krim – Encik Ibrahim Bin Abdullah
Kisah kejayaan pada kali ini mengisahkan seorang individu yang bernama Encik Ibrahim, dimana beliau merupakan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan Gooodio Popsicle ais krim dan melakukan penghantaran ais krim tersebut kepada agen atau pelanggan sekitar Putrajaya dan yang berdekatan. Beliau menjalankan perniagaan seperti ini bertujuan untuk menambah sumber pendapatan kerana bijak menggunakan peluang yang ada dan juga tidak mensia-siakan pengalaman dan ilmu beliau setelah menghadiri kursus membuat ais krim.
Beliau menggunakan Facebook sebagai medium untuk memperluaskan perniagaan dan mencari pelanggan. Selepas penggunaan ICT beliau semakin mahir berkongsi maklumat mengenai perniagaan dan mempromosi bahan jualan menggunakan caption yang menarik dan gambar-gambar setiap aktiviti beliau dalam menjalankan perniagaan ais krim ini.